KEMAHIRAN GENERIK : ASAS KEMAHIRAN BELAJAR

PENGENALAN



Apa itu kemahiran generik ataupun kemahiran yang dikenali sebagai kemahiran insaniah, kemahiran soft skills dan kemahiran modal insan? Kemahiran generik adalah kemahiran yang perlu diterapkan di dalam diri pelajar agar pelajar mempunyai kebolehan untuk menyiapkan tugasan dengan sempurna daripada pelbagai aspek. Menurut Robinson (2000), kemahiran generik adalah kemahiran asas yang diperlukan untuk mendapatkan, mengekalkan dan melakukan kerja dengan baik manakala Kearns (2001), menyatakan bahawa kemahiran generik adalah kemahiran yang boleh diaplikasikan untuk merentasi pelbagai jenis pekerjaan. Antara kemahiran yang terdapat dalam kemahiran generik adalah kemahiran belajar, kemahiran pemudahcara atau fasilitator, kemahiran mentafsir dan menilai, kemahiran teknologi maklumat serta kemahiran berfikir. Dalam tugasan ini, saya akan menerangkan kemahiran belajar dan kepentingannya.




Pertama sekali, kemahiran belajar sangat penting dan perlu dikuasai oleh semua orang terutamanya pelajar sekolah, pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT), pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG), pensyarah-pensyarah dan guru-guru.
·   Hal ini terbukti apabila kemahiran ini diterapkan dalam proses pembelajaran, prestasi belajar dan mengajar dalam kalangan pelajar dan guru dapat dipertingkatkan.
·  Belajar tanpa kemahiran bukanlah sesuatu yang senang, tetapi dengan mengetahui dan mengaplikasikan kemahiran belajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, kita dapat dapat menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna. Menurut Sabri Samad (2003), kemahiran belajar ialah prinsip, teori umum dan kaedah tertentu yang dapat melipatgandakan keberkesanan pelajar dalam sesi pembelajaran. Manakala OUM HBML 2203 (2009), mentafsirkan kemahiran belajar sebagai kaedah yang sistematik dan teratur untuk memperoleh dan memproses maklumat.
·      Menurut kajian oleh para cendekiawan, kemahiran belajar ini telah memberikan implikasi yang positif terhadap sistem pembelajaran pelajar terutamanya pelajar di IPG.

Penguasaan kemahiran belajar penting untuk pelajar berupaya belajar sendiri tanpa pengawasan dan bimbingan guru.
·     Hal ini selaras dengan anjakan pelan pembangunan pendidikan Malaysia iaitu untuk melahirkan pelajar yang berkualiti yang mampu menjana idea sendiri bagi menyelesaikan sesuatu masalah.
·  Belajar tanpa bimbingan guru dapat megajar pelajar untuk menilai tahap pembelajarannya sendiri dan seterusnya melakukan transformasi dalam meningkatkan prestasinya dalam pelajaran. Hal ini menunjukkan bahawa tanpa kemahiran belajar, individu itu akan berasa sukar untuk belajar secara berdikari dan dengan menggunakan kemahiran belajar kita dapat mencipta kecemerlangan berpandukan hasil dan usaha sendiri.

KEPENTINGAN KEMAHIRAN BELAJAR

Selain itu, kemahiran ini juga penting untuk melahirkan pelajar yang berfikiran KBAT iaitu kemahiran berfikir aras tinggi dengan menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada sebagai sumber pembelajaran. Contohnya, pelajar boleh menghubungkaitkan maklumat yang diperoleh daripada sesi pembacaan dengan kehidupan mereka. Mereka bukan sahaja membaca, malah mereka menggunakan otak mereka untuk berfikir dengan lebih luas tentang maklumat yang mereka peroleh.
Di samping itu, kemahiran belajar penting kepada pelajar, kerana dengan menguasai kemahiran ini, pelajar dapat menguasai kemahiran utama dalam kemahiran belajar seperti kemahiran mendengar, kemahiran membaca, dan kemahiran membuat nota. Aktiviti membaca dan membuat nota mungkin dianggap mudah oleh segelintir pelajar, namun tanpa mengetahui kemahiran belajar yang betul, pelajar bermasalah dalam membaca dan membuat nota. Contohnya, buku sudah ada di tangan, namun pelajar itu tidak dapat memahami maklumat yang dibaca kerana bahan bacaannya terlalu panjang dan tidak dapat mengeluarkan maklumat yang penting untuk dijadikan bahan rujukan dan nota. Kesannya pelajar akan mudah cepat bosan dan hilang minat terhadap bahan bacaan yang dibaca. Menurut Omardin (1997), pelajar hanya dapat menumpukan perhatian terhadap proses pembelajaran dalam tempoh masa yang singkat. Oleh itu, dengan mengetahui kemahiran belajar, masalah ini dapat diatasi dan dapat menjimatkan masa daripada membaca perkara yang sama secara berulang-ulang kali.
Seterusnya, sebagai pelajar di IPG, kemahiran belajar penting untuk menjimatkan masa. “Masa itu emas” atau dalam kata lain masa itu lebih berharga daripada emas. Sememangnya, sistem pembelajaran di IPG memerlukan usaha pelajar sendiri kerana pelajar di IPG tidak dibekalkan nota oleh pensyarah dan mereka tidak boleh bergantung kepada nota kuliah sahaja. Mereka perlu merujuk maklumat atau bahan bacaan ilmiah untuk menambah dan mengukuhkan lagi penguasaan mereka dalm sesuatu mata pelajaran. Di IPG, kita selalu diingatkan untuk tidak membuang masa dan menggunakan masa dengan melakukan kerja yang berfaedah..Misalnya, pelajar di IPG perlu memanfaatkan masa dengan mencari maklumat dan rujukan sendiri daripada pelbagai sumber dan menganalis maklumat tersebut untuk digunakan dalam membuat nota. Jadi, dengan menggunakan teknik membuat rujukan dalam kemahiran belajar, pelajar dapat menggunakan masa dengan efisien dalam mencari dan menguruskan maklumat yang terdapat di pusat sumber dan persekitaran. Pendek kata, pelajar di IPG lebih banyak menghabiskan masa di pusat sumber bagi mendapatkan bahan pembelajaran. 

MATLAMAT KEMAHIRAN BELAJAR



Matlamat kemahiran belajar adalah untuk mewujudkan pembelajaran bermakna yang melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, kritis dan analitik serta cekap menjana idea bagi menghasilkan produktiviti yang baru. Poh Swee Hiang (2005), pemikiran kritis adalah pemikiran yang mahir dan bertanggungjawab dalam proses menjana idea, memberi pendapat serta membuat kesimpulan dan membuat keputusan dengan bijak. Mempelajari kemahiran belajar yang sesuai merupakan masalah yang sering dihadapi oleh pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan dalam akademik. Kemahiran belajar sangat membantu jika pelajar mahir menggunakan dan mampu mengaplikasikannya dalam pembelajaran sepanjang hayat. Penguasaan dalam kemahiran belajar sangat penting kerana menurut kajian yang dilakuka oleh Bass dan Greary (1996), salah satu cara penentuan kecekapan atau prestasi seseorang individu mempelajari dan menguasai ilmu adalah dengan menyedari gaya pembelajarannya. Gaya pembelajaran tidak dapat dinilai oleh seseorang individu, jika kemahiran belajarnya belum dikuasai dengan sepenuhnya kerana penguasaan kemahiran belajar melibatkan usaha menguasai gaya pembelajaran. Setiap pelajar harus tahu bahawa dalam proses pembelajaran, terdapat peringkat tertentu yang membolehkan pelajar belajar dan menguasai kemahiran belajar.

KESIMPULAN

Jelaslah di sini bahawa kemahiran belajar telah dirangka untuk diaplikasikan oleh pelajar dalam pembelajaran mereka untuk memudahkan proses pembelajaran mereka dan menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik. Cara belajar dalam kemahiran belajar boleh dijadikan panduan dan rujukan oleh para pelajar sama ada pada peringkat pengajian tinggi ataupun pelajar sekolah. Dengan menggunakan kemahiran belajar dengan betul, pelajar dapat meningkatkan prestasi akademik dan dapat mencapai keputusan yang cemerlang kerana pelajar mahir dalam menilai kelemahan dan kekuatan mereka dalam pembelajaran. Dalam peperiksaan. Penguasaan kemahiran belajar juga dapat membantu pelajar mengembangkan daya pemikiran mereka dan membuka minda mereka dengan lebih luas serta mampu meningkatkan ingatan mereka agar tidak mudah lupa akan maklumat penting dalam pembelajaran. Sebagai bakal guru, kemahiran belajar ini sangat membantu jika kita mahir dan mampu mengaplikasikannya dalam sesi pengajaran di sekolah dan pembelajaran di IPG.



DISEDIAKAN OLEH : NURUL SHAFIA BINTI WAHAB

RUJUKAN : 
rakan-rakan, M. N. (1995). Kemahiran berfikir dan belajar. Selangor: Fajar Bakti Sdn Bhd.
Sang, M. S. (2008). Murid dan Alam Belajar. Perak: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Selamat, A. R. (1989). Belajar Cara Belajar. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
Syed Ismail Bin Syed Mustapa, A. S. (2010). Kemahiran Belajar. Selangor: Multimedia Sdn Bhd.



1 comment:

  1. Boleh layari ringkasanilmiah.blogspot untuk dapatkan melalui sistem pengurusan pembelajaran bab 8

    ReplyDelete

BELAJAR ASAS BELAJAR

GKK

Asalamualaikum saya ucapkan bagi pembuka kata refleksi kerja kursus Kesihatan Diri Dan Kecergasan (GKK 1043).   Saya Ameena Hadhari sangat...